JADUAL padat perlumbaan basikal trek di Sukan Asia Hangzhou akan dijadikan kelebihan buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang selepas beliau melalui situasi sama pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos lalu.   

Pelumba yang berusia 35 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu melihat bahawa jadual yang ditetapkan hanya dalam 15 minit untuk ke perlumbaan seterusnya dimana ia akan lebih menguji kekuatan mental dan fizikal para atlet.

Namun demikian, pengalamannya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang jadualnya juga agak padat telah menjadikan beliau lebih bersedia untuk menghadapi perlumbaannya di Hangzhou nanti.

Beliau juga berharap bahawa sejarahnya dalam Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) yang berjaya meraih dua pingat emas itu akan berulang di Sukan Asia meskipun akan menerima tentangan hebat seperti pasukan China dan Jepun.

“Saya juga telah menasihatkan dan berkongsi pengalaman kepada pasukan saya supaya bersedia mental dan fizikal kerana ini merupakan Sukan Asia pertama bagi majoriti mereka.

“Dengan keadaan jadual yang padat ini, tekanan yang bakal dirasai akan berada di tahap yang tinggi.

“Saya berharap supaya saya akan mencapai satu lagi sejarah dalam Sukan Asia yang terakhir buat saya”, katanya kepada media.

Azizulhasni terdahulu pernah meraih satu pingat emas menerusi acara pecut pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Tambahan, pelumba kelahiran Terengganu ini berada dalam kondisi yang cergas dan lebih baik selepas mendapat keputusan pemeriksaan yang positif.

Beliau bersama atlet berbasikal yang lain masing-masing ingin memburu pingat emas buat Malaysia di Sukan Asia Hangzhou, China yang akan bermula pada 23 September ini.