LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher, optimis Nottingham Forest bakal menjadi salah satu calon serius juara Liga Perdana Inggeris musim 2024/2025 sekiranya mereka berjaya menewaskan The Reds.
Musim ini, Liverpool tampil mantap di bawah bimbingan Arne Slot. Mereka kini berada di puncak carta Liga Perdana Inggeris dengan 46 mata daripada 19 perlawanan.
Namun, keadaan berbeza bagi juara bertahan, Manchester City. Prestasi buruk mereka menyaksikan pasukan kendalian Josep Guardiola terjatuh ke tangga keenam dengan kutipan 34 mata.
Sebagai pengganti tempat Manchester City, muncul satu nama mengejutkan, iaitu Nottingham Forest. Pasukan ini kini berada di tangga ketiga dengan 40 mata, sama dengan Arsenal, tetapi Forest dibezakan dengan faktor jaringan.
Musim ini, Nottingham Forest menunjukkan prestasi luar biasa di bawah kendalian Nuno Espirito Santo. Setakat ini, mereka telah memenangi 12 daripada 20 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.
Forest bakal menghadapi ujian berat pada 15 Januari 2025 apabila mereka menerima kunjungan Liverpool di City Ground.

Menurut Jamie Carragher, Forest akan mencipta kejayaan besar jika mereka mampu menewaskan Liverpool. Beliau menyebut bahawa pasukan yang digelar The Tricky Trees itu boleh dianggap sebagai calon serius juara Liga Perdana Inggeris musim ini.
“Jika mereka menewaskan Liverpool, mereka akan berada dalam persaingan merebut gelaran juara. Apa yang ingin saya katakan sekarang adalah, jika lima pasukan teratas layak ke Liga Juara-Juara, mereka memiliki peluang yang sangat besar,” kata Carragher kepada Sky Sports.
Forest sudah tentu yakin mampu menundukkan Liverpool. Ini kerana mereka satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan skuad bimbingan Arne Slot musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Mereka menang 0-1 ketika bertandang ke Anfield pada 14 September 2024.