Pengurus sementara Michael Carrick mengakui beliau kini semakin selesa memikul tanggungjawab besar di Manchester United selepas berjaya membawa pasukan itu kembali ke pentas Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool di Old Trafford mengesahkan kedudukan United dalam kelompok lima terbaik Liga Perdana Inggeris, sekali gus menjamin slot ke saingan elit Eropah dengan tiga perlawanan masih berbaki.

Carrick mengambil alih tugas pada Januari lalu selepas pemergian Ruben Amorim, dengan misi utama untuk mengembalikan United ke Liga Juara-Juara selepas beberapa musim ketinggalan.

Bekas pemain tengah itu menyifatkan peranan baharunya sebagai sesuatu yang semakin serasi, hasil pengalaman panjangnya bersama kelab termasuk ketika menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan sebelum ini.

“Saya selesa dengan peranan ini dan ia terasa cukup semula jadi. Saya faham tuntutan tugas ini dan tahu apa yang diperlukan,” katanya.

Kejayaan tersebut secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Carrick sebagai calon untuk dilantik secara tetap, walaupun United turut dikaitkan dengan nama seperti Andoni Iraola dan Julian Nagelsmann.

Namun, Carrick menegaskan pencapaian layak ke Liga Juara-Juara bukanlah penamat bagi sebuah kelab sebesar United yang masih memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh lebih sedekad.

Dalam perlawanan itu, United hampir terlepas kelebihan apabila Liverpool bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan, namun jaringan lewat Kobbie Mainoo memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah.

Sementara itu, pengurus Liverpool Arne Slot meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan anak buahnya mengekalkan fokus, yang menyaksikan mereka dihukum pada saat akhir perlawanan.

Kekalahan tersebut memberi tamparan kepada Liverpool dalam usaha memburu kedudukan terbaik liga, ketika saingan semakin menghampiri penghujung musim.