KELAB Newcastle United semakin hampir untuk melangkah ke final Piala Liga Carabao selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal dalam aksi separuh akhir pertama di Emirates, London, awal pagi Selasa.

Gol daripada Alexander Isak dan Anthony Gordon di setiap babak memastikan pasukan kendalian Eddie Howe berada di landasan terbaik untuk mara ke final pada aksi timbal balik di St. James’ Park, Februari nanti.

Namun, pengurus Newcastle, Eddie Howe, mengingatkan pasukannya agar tidak terlalu selesa meskipun kejayaan ini membawa mereka semakin dekat untuk menamatkan kemarau trofi sejak 1955.

“Ini adalah satu langkah besar ke hadapan, terutama apabila melihat rekod kami baru-baru ini dalam perlawanan di tempat lawan.

“Kami bermain dengan penuh keyakinan, tetapi ikatan ini masih hidup dan belum tamat. Masih ada cabaran besar menanti di aksi timbal balik,” katanya kepada selepas kemenangan ketujuh berturut-turut pasukannya dalam semua kejohanan.

Sejak musim 1987-88, semua pasukan pelawat yang membawa bekalan kelebihan dua gol dari aksi separuh akhir pertama berjaya mara ke final. Statistik ini memberikan kelebihan moral kepada Newcastle, manakala Arsenal berdepan tugas berat untuk meneruskan harapan meraih trofi Piala Liga buat kali ketiga dalam sejarah mereka.

Bagi Howe, pengalaman membawa Newcastle ke final Piala Liga pada 2023, sebelum tewas kepada Manchester United di Wembley, menjadi peringatan penting bahawa cabaran besar masih menanti.

Selepas kemenangan pagi tadi, beliau menegaskan bahawa fokus tetap diperlukan untuk memastikan mereka menempah tempat ke pentas akhir yang berkemungkinan menemukan mereka dengan Liverpool atau Tottenham Hotspur.

“Kami bermula dengan baik di separuh masa pertama, tetapi pasukan mula keletihan di babak kedua apabila Arsenal cuba bangkit. Ketika itu, ia lebih kepada mentaliti kami untuk bertahan. Saya bangga dengan cara pemain berjuang dan meletakkan badan mereka di garisan untuk memastikan kemenangan ini,” tambah Howe.

Sorakan gemuruh daripada penyokong Newcastle, yang dikenali sebagai Toon Army, menjadi saksi bagaimana mereka kini mengimpikan trofi pertama dalam hampir tujuh dekad. Namun, bagi Howe dan anak buahnya, tugas di separuh akhir masih jauh daripada selesai.