MANCHESTER City mengesahkan perpindahan pemain sayap Ghana, Antoine Semenyo, dari Bournemouth dengan nilai kira-kira £65 juta dan perpindahan ini menjadi rekod jualan tertinggi Bournemouth selepas klausa pelepasan pemain itu diaktifkan. 

Pemain berusia 26 tahun itu bangga dapat menyertai Manchester City dan menganggapnya sebagai peluang terbaik dalam kariernya, Semenyo percaya  dia masih boleh berkembang dan yakin aksi terbaiknya masih akan menjelma.

Pengurus City, Pep Guardiola, mengesahkan Semenyo akan tersenarai dalam skuad Piala FA menentang Exeter City serta Guardiola turut memuji keupayaannya yang berpengalaman dalam Liga Perdana serta mampu beraksi di kedua-dua sayap.

Semenyo tampil cemerlang bersama Bournemouth musim ini dengan meledak 10 gol daripada 20 perlawanan liga dengan turut menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan terakhir sebelum menyertai City.

Pengarah bola sepak City, Hugo Viana, menyifatkan Semenyo sebagai pemain berkualiti tinggi, memiliki kepantasan, kekuatan fizikal serta sikap profesional. Menurutnya, Semenyo merupakan pemain yang tepat untuk perancangan jangka panjang kelab.

Semenyo meninggalkan Bournemouth dengan kenangan manis selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menentang Tottenham. Beliau kini bersedia memulakan cabaran baharu bersama Manchester City, menandatangani kontrak sehingga 2031 dan akan menyarung jersi nombor 42.

Kredit Gambar : ManCity.Com