PEMAIN Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mempamer semangat juang yang tinggi sebelum terpaksa akur kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun, dalam aksi rubber set 17-21, 22-20, 21-23 dalam aksi peringkat Kumpulan H acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024.

Jin Wei menunjukkan aksi membanggakan dengan sering menyukarkan Ga Eun meskipun pemain  Korea  Selatan itu tampil dengan kawalan gelanggang lebih kemas untuk menang 21-17 pada set pertama.

Seakan tidak mahu mengalah, Jin Wei meneruskan rentak cemerlang dan pada satu masa mendahului lima mata sebelum menang 22-20 untuk mengheret perlawanan ke rubber set.

Di set penentuan, Jin Wei tidak berjaya menyudahkan dua mata permainan ketika mendahului 20-18 sebelum dikecewakan Ga Eun dengan kemenangan 23-21 untuk menempah tempat ke suku akhir.

Ditemui selepas perlawanan, Ga Eun mengakui kualiti yang dihadirkan dari Jin Wei yang membuatnya tertekan sepanjang permainan yang sedikit sebanyak membuatkan dia berasa kurang keyakinan diri.

“Perlawanan yang sangat penting tetapi saya tidak mempunyai keyakinan seperti biasa dan bimbang tewas tetapi saya berjaya bertahan hingga ke akhir untuk mencatat kemenangan.

“Pada awalnya saya seakan hilang keyakinan kerana keadaan diri dan tidak berjaya bermain dengan permainan saya. saya sangat tertekan sepanjang permainan tetapi kini gembira kerana berjaya menyelamatkan dua mata akhir dari lawan,” jelasnya.