TERENGGANU FC berjaya meraih tiga mata dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC pada Selasa, namun perkara itu belum cukup memberi kelegaan buat ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner yang masih diulit kebimbangan dengan prestasi anak buahnya.
Ia berikutan skuad Sang Penyu bakal berdepan ujian cukup getir menentang Selangor FC pada separuh akhir kedua Piala FA Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurut Steinbruckner, fokus utamanya adalah untuk melakukan pemulihan kepada pemain yang dilihat agak kepenatan selepas mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.

Tomislav ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada Selasa.
“Tahniah kepada pasukan saya kerana mendapatkan tiga mata malam ini, tapi kami lihat seperti keletihan, Negeri Sembilan menguasai permainan pada awal 20 minit dan menjaringkan gol atas kesilapan kami. Kami berjaya mencipta beberapa peluang kemudian pada hujungnya kami dapat hasilkan gol menerusi sepakan percuma Safawi.
“Saya puas hati dengan tiga mata tapi perlu lihat semula keadaan pasukan bagaimana untuk pulih kerana ramai pemain dilihat tidak berada dalam prestasi baik hari ini bila bercakap pasal tenaga, kecergasan ini yg kami risaukan,” katanya.
Kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu membolehkan Terengganu mengumpul 11 mata untuk berada di tangga ketiga, 7 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Safawi Rasid salah seorang penjaring gol Sang Penyu pada malam Selasa.
Dengan situasi yang melanda kem Terengganu ketika ini, Steinbruckner mengakui perlu merangka strategi lebih ampuh berdepan Selangor dalam misi merebut slot ke final Piala FA.
“Kami kehilangan Alif Zakaria, saya harap Ismaheel Akinade dapat kembali bersama pasukan, fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan semula kecergasan dan prestasi pemain bagi perlawanan Sabtu ini.
“Kami mendapat keputusan 3-2 (Separuh akhir pertama) dan kami bersedia berdepan cabaran lebih hebat untuk layak ke final kerana itu adalah sasaran pertama kami musim ini.
“Mereka perlu menjaringkan dua gol untuk menang, saya harap kami dapat mencipta peluang. Untuk mara ke final kami perlu bermain lebih baik,” katanya.