PERSAINGAN Johor 7s 2026 semakin memuncak selepas saingan peringkat kumpulan melabuhkan tirai pada hari kedua, sekali gus menyaksikan beberapa pasukan pilihan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, hari ini.
Dalam kategori lelaki, Malaysia University muncul antara pencabar utama kejohanan selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan kumpulan. Mereka terlebih dahulu menewaskan pasukan pembangunan Kesatuan Ragbi Johor (JRU), SJ26 dengan keputusan 7-5 sebelum mencatat kemenangan meyakinkan 35-7 ke atas Johor Barbarian.
Turut mencuri perhatian ialah wakil Thailand, All For One, yang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas membenam Nomad RC 51-0 dan menewaskan MVPRC 15-5 untuk muncul sebagai antara pasukan pilihan ke final.
Bunga Raya 7s Development turut meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan ke atas UTM Pirates dan X King RC untuk melangkah bergaya ke peringkat kalah mati.
Aksi suku akhir kategori lelaki menyajikan pertembungan sengit apabila Malaysia University menyingkirkan SSTMI Tsunami 26-0 untuk mara ke separuh akhir. All For One pula meneruskan kemaraan selepas menewaskan juara bertahan Singapore Development 5-0.
Iskandar Raiders turut mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik selepas mencatat kemenangan tipis 5-0 ke atas Red Panthera, manakala Bunga Raya 7s Development melengkapkan senarai separuh akhir dengan kemenangan 25-5 ke atas DKI Jakarta.
Dalam kategori wanita, Singapore Development terus memperagakan aksi cemerlang apabila menewaskan SRC Babas 7-0 sebelum mengatasi DKI Jakarta 10-5 untuk muncul juara Kumpulan A.
Bunga Raya 7s Development dan E.C.M.R Singapore turut menampilkan prestasi meyakinkan untuk mara ke separuh akhir bersama Singapore Development dan SRC Babas selepas masing-masing menewaskan lawan di suku akhir.
Tumpuan kini beralih ke hari terakhir Johor 7s 2026 yang bakal menyaksikan aksi separuh akhir dan final bagi kategori lelaki dan wanita, dengan perebutan kejuaraan dijangka berlangsung sengit dalam usaha memburu gelaran edisi tahun ini.