PASUKAN ragbi Johor dilihat tampil lebih ampuh menjelang saingan Piala Agong 2026 apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain berpengalaman dari Samoa, Tim Nanai-Williams.
Perkembangan itu diumumkan oleh Kesatuan Ragbi Johor menerusi kenyataan rasmi yang menyifatkan kehadiran pemain berusia 36 tahun itu sebagai suntikan besar buat pasukan.
Nanai-Williams memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa, termasuk pernah beraksi bersama kelab ternama seperti Ricoh Black Rams di Jepun serta dua gergasi Perancis, ASM Clermont Auvergne dan Toulouse.
Selain itu, beliau juga pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Samoa sebanyak 16 kali dan beraksi dalam dua edisi Piala Dunia Ragbi pada tahun 2015 dan 2019.
Beliau turut mempunyai kaitan kekeluargaan dengan legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams, yang juga dikenali sebagai ikon sukan Johor.
Dalam masa sama, Johor turut menambah kekuatan dengan membawa masuk seorang lagi pemain import dari New Zealand, Adam Brash bagi menghadapi cabaran musim ini.
Kehadiran pemain-pemain berprofil tinggi ini dijangka meningkatkan kualiti permainan Johor sekali gus memperkukuh peluang mereka dalam memburu kejuaraan Piala Agong 2026.
Sumber Gambar: IG Tim Nanai-Williams