PASUKAN ragbi Johor hadir ke final Piala Agong 2026 dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan karakter luar biasa sepanjang kempen musim ini, termasuk kemenangan dramatik ke atas Kelantan di separuh akhir.
Pasukan dari selatan tanah air itu kini hanya selangkah untuk menjulang kejuaraan apabila bakal berdepan Terengganu dalam aksi final yang dijadual berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Ahad ini.
Ketua jurulatih Johor Rugby, Rodney So’oialo mengakui perjalanan pasukannya ke final bukan sesuatu yang mudah, namun beliau bangga dengan mentaliti dan semangat juang yang ditunjukkan pemain-pemainnya terutama ketika berdepan detik sukar.
https://vt.tiktok.com/ZSC6Mb4nt/
Menurut Rodney, kemenangan di separuh akhir membuktikan Johor kini memiliki identiti sebagai pasukan yang tahu bagaimana untuk mengharungi tekanan dan memenangi perlawanan penting.
“Ia bukanlah perlawanan yang paling cantik daripada kami, tetapi kami sangat bangga kerana kami telah membina sebuah pasukan yang mahu memenangi saat-saat genting seperti itu.
“Kami sangat gembira dengan cara pemain-pemain memberikan tindak balas, terutamanya kerana Kelantan bermain dengan sangat baik,” katanya.
Rodney turut memuji komitmen barisan pemain yang terus berjuang sehingga wisel penamat, sesuatu yang disifatkannya sebagai faktor utama kejayaan Johor mara ke pentas final.
Beliau menegaskan kerja keras yang dipamerkan pemain sejak beberapa tahun kebelakangan ini akhirnya membuahkan hasil dan peluang beraksi di final adalah ganjaran yang setimpal.
“Saya berasa emosi bagi pihak pemain kerana mereka telah bekerja keras sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Perkara paling penting bagi kami adalah bekerja keras antara satu sama lain sehingga minit ke-80, dan kami sangat bangga dengan usaha mereka,” katanya.
Johor kini memburu gelaran Piala Agong pertama dalam tempoh sembilan tahun, dengan kali terakhir mereka menjulang trofi berprestij itu adalah pada 2017. Faktor itu pastinya menjadi pembakar semangat tambahan buat pasukan ragbi dari selatan tanah air untuk menamatkan penantian panjang tersebut.
Dengan momentum positif serta semangat juang tinggi yang menjadi identiti pasukan, Johor pastinya bertekad untuk menamatkan kempen Piala Agong 2026 dengan penuh bergaya.