JUARA dua kali Piala Dunia, Perancis terus mengorak langkah ke peringkat seterusnya selepas berhempas pulas menewaskan Paraguay di pusingan 16 terbaik dengan jaringan 1-0 di Stadium Philadelphia, pagi tadi.

Pengendali skuad Perancis, Didier Deschamps mengakui anak buahnya terpaksa berjuang habis-habisan dalam perlawanan yang sukar kerana Paraguay bermain dengan formasi pertahanan 5-4-1, bertahan dalam kawasan sekecil 25 meter.

“Namun saya tidak mahu mengkritik Paraguay, setiap pasukan berhak bermain dengan cara yang mereka mahukan,” kata Deschamps dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan agresif ini, 3 pemain Perancis dilayangkan kad kuning iaitu Michael Olise, Bradley Barcola dan Manu Kone.

“Saya tidak mahu mengkritik pengadil walaupun kami menamatkan perlawanan dengan tiga kad kuning dan saya melihat banyak perkara berlaku di atas padang.

“Setiap pasukan bebas bermain mengikut cara yang mereka mahukan, dan adalah lebih baik jika tiada provokasi yang datang dari bangku simpanan lawan,” tambah Deschamps.

Juga, Deschamps turut mengakui bahawa cuaca panas melampau menjejaskan kualiti permainan Les Bleus menentang lawan yang bertahan dengan blok rendah dan kurang menggunakan tenaga.

Dalam pada itu, Deschamps gembira para pemain kekal tenang kerana keadaan boleh menjadi tidak terkawal sekali gus kekal fokus kepada permainan bola sepak dan tahu bagaimana untuk melakukannya.

Les Bleus dijadualkan menentang Maghribi di peringkat suku akhir, mengulangi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada separuh akhir Piala Dunia 2022 yang menyaksikan Perancis menempah tiket ke pentas final dengan kemenangan 2-0.

Pengendali kelahiran Perancis itu tidak menafikan kekuatan Maghribi selaku antara pasukan terbaik, namun mahu anak buahnya menikmati kemenangan ini dahulu sebelum mengalihkan fokus sepanjang baki lima hari menjelang aksi suku akhir.

Kredit Gambar – Franck Fife / AFP