NELE Gilis menjadi petualang apabila menyingkir penyandang juara Terbuka Malaysia, Aifa Azman di suku akhir hari ini.

Begitupun, Rachel Arnold meneruskan misi mengekalkan gelaran buat Malaysia, apabila mara ke separuh akhir esok.

Turun dalam perlawanan pertama di peringkat suku akhir hari ini, Aifa berdepan tugas berat untuk mempertahan gelaran apabila berdepan pilihan utama yang juga pemain ranking ke-14 dunia, Nele Gilis dari Belanda.

Aifa Azman cuba memberi tentangan sengit kepada Nele Gilis, di suku akhir Terbuka Malaysia.

Aifa yang baru naik ke ranking ke-21 dunia ternyata tidak mampu menyaingi Nele yang memenangi perlawanan itu 11-9, 11-4, 11-2 dalam masa 32 minit.

Ketika Aifa tewas, Rachel Arnold pula mengejutkan pilihan keempat, Nadine Shahin dari Mesir dengan kemenangan 3-1.

Rachel beraksi di Piala Malaysia buat kali kesembilan, bermula perlahan apabila tewas 6-11 di set pertama.

Pengalaman sembilan kali beraksi di Terbuka Malaysia diharap menjadi azimat buat Rachel Arnold.

Menyedari tanggungjawab besar di galas sebagai pemain tempatan, dia bagai mengamuk memenangi set kedua 11-1, sebelum bersaing sengit dalam dua set berikutnya dengan kemenangan 11-9, 11-9.

Kemenangan itu membawa Rachel ke separuh akhir dan menantinya, Nele yang menewaskan Aifa.

Puas hati… Rachel Arnold meraikan kemenangan ke atas Nadine Shahin dari Mesir.

“Saya rasa bangga. Selalunya pertemuan saya dan Nadine amat sengit, jadi kemenangan ini menggembirakan saya.

“Mungkin hari ini, saya bermain lebih agresif selepas seti pertama yang saya bermula agak perlahan.

“Mengenai pertemuan dengan Nele, kali terakhir saya bermain dengannya, saya tewas 3-0 dan semoga saya dapat beri saingan sengit esok,” kata Rachel.