KETUA Jurulatih Melaka FC, K Devan mengakui tiga mata penuh diraih pada aksi sulung Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 umpama suntikan semangat untuk meneruskan kemenangan berdepan Gombak FC, Sabtu ini.

Menanti kunjungan Gombak FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, bekas pengendali Negeri Sembilan FC ini melihat bukan tugas mudah buat anak didiknya memandangkan lawan turut meraih kemenangan pertama di tempat sendiri, minggu lalu.

Tegasnya, masih terlalu awal untuk berpuas hati dan mereka perlu bekerja keras walaupun membawa pulang tiga mata menewaskan PIB Shah Alam, 4-1.

“Banyak lagi perlu diperbaiki serta dipertingkatkan memandangkan ini baru perlawanan pertama kita dan masih banyak lagi perlu ditempuhi.

“Positifnya berdepan Gombak FC ini kita bermain di laman sendiri dan saya percaya pemain akan lebih bersemangat memburu kemenangan kedua,” katanya menerusi kenyataan di AFL.

Kesebelasan utama Melaka ketika aksi menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Mini USIM, Nilai. Foto: AFL

Tambahnya lagi, berdepan skuad bimbingan Shahrom Kalam bukan tugas mudah dan pemain tidak boleh memandang ringan kemampuan pasukan lawan.

“Kami menghormati lawan, mereka turut menang pada aksi pertama, jadi saya yakin perlawanan akan menarik hujung minggu ini,” katanya yang enggan memikirkan status pasukan pilihan pada kejohanan kali ini.