SEBUT sahaja legenda bola sepak, sudah tentu banyak nama yang menghiasi ruangan minda penggemar bola sepak tempatan.
Namun, tidak ramai mampu memiliki status itu sewaktu masih bermain bola sepak. Biarpun sosok ini masih beraksi di kancah Liga di Malaysia, tetapi tidak keterlaluan jika namanya diangkat sebelum tempoh persaraannya kelak.
Individu tersebut bernama Amri Yahyah. Dilahirkan pada tanggal 21Januari 1981, anak jati Tanjung Karang ini memulakan kariernya dengan menandatangani kontrak dengan Selangor pada tahun 2001.
Namanya mula meniti di bibir peminat setelah digelar ‘Golden Boy’ apabila menjaringkan gol sewaktu pertemuan menentang Sabah pada aksi final Piala Malaysia 2002.
Memiliki versatiliti dalam corak permainannya, Amri mampu bermain di hampir semua posisi yang diperlukan seorang pemain bola sepak berkualiti.
Pemain serba boleh itu juga mampu beraksi di posisi pertahanan, tengah, serangan dan sayap.
Tahun 2005 merupakan detik yang sangat bermakna buat Amri bersama Selangor apabila berjaya meraih gelaran treble dengan menjulang tiga piala iaitu Liga Perdana Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia yang menjadi rebutan setiap pasukan ketika itu.
Sebelum bermulanya musim 2009, Amri dilantik menjadi ketua pasukan Selangor selepas kontrak Shukor Adan ditamatkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Pada tahun 2014, rata-rata penyokong Gergasi Merah meratapi penghijrahannya ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kehadirannya ke JDT menaikkan lagi namanya setelah cemerlang bersama Selangor.
Hadir sebagai penyerang, nyata Amri tidak mengecewakan peminat JDT apabila beberapa kali menjadi kapten pasukan termasuk menjaringkan beberapa gol menarik dan unik sepanjang kariernya di JDT.
Sepanjang berada di JDT, Amri sudah mengumpul juara Piala AFC 2015, juara hatrik Liga Super (2014/15/16), juara Piala FA 2016 dan juara Piala Sumbangsih (2015/2016).
Amri sering mencuri tumpuan dengan gelecekannya dan aksi lakonannya di atas padang yang kadangkala menjadi hiburan untuk semua yang menyaksikan.
Perjalanannya diteruskan dengan menyarung jersi Melaka United pada 2016 sebelum berhijrah kembali ke pasukan asalnya, Selangor pada 2017.
Dalam pada itu, aksinya bersama skuad kebangsaan turut menarik perhatian rakyat Malaysia apabila Amri berjaya menjaringkan dua gol cantik ketika Malaysia Selection menentang Manchester United biarpun tewas 2-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa tersebut.
Momen terindah tentunya apabila Malaysia memahat sejarah merangkul gelaran sulung Piala AFF 2010 sewaktu Amri berada dalam senarai panggilan kebangsaan ketika itu
Kini, Amri masih bermain bersama Sabah FC di usia 41 tahun serta masih berbisa dengan ledakan ‘phenomenal’ yang sukar dijangka sekaligus dia layak menerima pengiktirafan bergelar legenda bola sepak Malaysia.