ATLET karate negara tidak boleh gentar apabila beraksi pada saingan Karate 1 (K1) Series A di Arena N9, Nilai dari 3 hingga 5 Oktober ini, sebaliknya mengerah segala potensi yang ada dalam diri masing-masing.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, K1-Series A menjadi batu loncatan penting buat karateka negara menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, apa lagi ketika Malaysia buat pertama kali menjadi tuan rumah kejohanan sebesar itu, selepas menganjurkan Kejohanan Karate Asia di Melaka pada 2023.

“Kalau atlet kita boleh sampai suku akhir Serie A, saya yakin emas Sukan SEA sudah dalam genggaman, malah kalau ada yang mampu raih pingat, peluang Sukan Asia juga cerah,” katanya, selepas meninjau venue bersama ahli eksekutif Petaekutuan Karate Dunoa (WKF), Tun Dr Mohd Ali Rustam.

Karateka negara perlu buktikan kemampuan di Karate 1 (K1) Series A bagi merebut tempat ke Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Beliau menegaskan cabaran getir ini wajar dijadikan motivasi buat atlet mempamerkan prestasi terbaik, sambil mengingatkan bahawa sasaran pingat tetap perlu dicapai walaupun tanpa tekanan berlebihan.

Setakat ini, sebanyak 81 negara mengesahkan penyertaan dengan 1,080 atlet dijangka turun ke gelanggang, manakala Malaysia akan mempertaruhkan 30 atlet podium dan pembangunan.

“Kami juga akan menilai kemampuan mereka dalam saingan ini sebelum menentukan siapa yang layak dibawa ke Sukan SEA Thailand,” kata Nur Azmi.