MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara terbuka menyuarakan rasa tidak gembira terhadap jumlah Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM450,000 yang diterima Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), menegaskan dana itu tidak mencerminkan kepentingan sukan berkenaan kepada negara.

Ketika diminta mengulas mengenai keluhan Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad yang berasakan kelulusan dana GPS “ciput” ketika badan itu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia Karate1-Series A, Oktober lalu, Hannah menegaskan tiada sukan dianaktirikan dan karate kekal antara penyumbang pingat paling konsisten di temasya sukan, sekali gus memerlukan perhatian sewajarnya dalam penganjuran kejohanan bertaraf dunia yang melibatkan ramai atlet.

“Sebelum ini GPS pernah memberikan RM1 juta kepada MAKAF untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa di Melaka (2 tahun lalu), disebabkan jumlah permohonan masih rendah, namun situasi kini berbeza apabila dana semakin kecil tetapi permohonan meningkat mendadak.

“Justeru, saya telah meminta jawatankuasa dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) KBS untuk meneliti semula setiap permohonan pada masa hadapan kerana bombang risiko penganjur menanggung hutang jika dana tidak mencukupi,” katanya, ketika ditemui selepas Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepaktakraw Perpaduan Kaum, di SJKC Kwong Hon.

Artikel berkaitan:

MAKAF angkat bendera putih, tolak anjur kejohanan antarabangsa lepas terima GPS tak setimpal

Hannah turut mendedahkan bahawa Jawatankuasa GPS perlu menyemak semula beberapa item seperti kos penyiaran yang tidak dibenarkan untuk dituntut, sedangkan badan dunia mewajibkan penganjur menyediakan siaran sebagai syarat kejohanan.

Beliau berkata, penambahbaikan perlu dibuat segera termasuk memasukkan kos penyiaran sebagai item boleh dituntut, memandangkan kejohanan antarabangsa memerlukan standard tertentu yang tidak boleh dikompromi.

Justeru, Hannah menolak tanggapan bahawa MAKAF disisihkan, menegaskan hubungan kedua-dua pihak sangat rapat terutama dalam program sosial kerajaan seperti kelas karate di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).