EDISI ketujuh International Golden Monsoon Ride and Run (IGMRR) 2025 yang bakal berlangsung pada 19 dan 20 Disember ini dijangka lebih meriah apabila menyasarkan penyertaan lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Bertemakan Be The Change, To The New Beginning, penganjuran dwitahunan itu tampil kelainan dengan gabungan dua disiplin sukan popular – berbasikal dan larian – sekali gus memberi pengalaman unik kepada penggemar gaya hidup sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim optimis sambutan kali ini lebih hangat, tambahan pula hadiah utama yang ditawarkan cukup lumayan iaitu sebuah Proton S70.

Selain itu, Presiden Kumpulan Terengganu Incorporated, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun menjelaskan penambahan huruf ‘R’ pada akronim IGMRR membawa maksud Run, simbolik kepada peluasan acara untuk menarik lebih ramai penyertaan.

Empat acara utama bakal dipertandingkan iaitu MTB Race On Road, Duathlon, Fun Ride dan Fun Run yang akan mewarnai sekitar pusat bandar Kuala Terengganu.

Pendaftaran dibuka bermula 21 Ogos menerusi platform Ticket2U dan terbuka kepada semua peringkat umur. Peserta turut berpeluang membawa pulang lebih 150 hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 termasuk dua buah motosikal Honda Vario, iPhone 16 serta sebuah basikal lumba berjenama.

Dengan hadiah menarik serta kelainan konsep, IGMRR 2025 dijangka menjadi antara acara sukan rekreasi terbesar penghujung tahun ini di Malaysia.