PENGENDALI Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak memberitahu ‘cerita dongeng’ menjuarai Piala Malaysia tahun lalu kini diteruskan pula di Piala AFC.

Selepas menang besar 5-2 ke atas PSM Makassar, ternyata Hodak amat gembira dengan persembahan anak-anak buahnya itu, malah percaya kemenangan ini akan melonjakkan lagi semangat para pemain untuk bekerja lebih keras.

Jurulatih kelahiran Croatia ini juga berasa bangga kerana berjaya menaikkan nilai Liga Malaysia selepas bergelar juara zon Asean dan membantu kutipan mata MA untuk Malaysia.

“Menjuarai Piala Malaysia musim lepas adalah cerita dongeng buat dan kini kami menyambung cerita dongeng ini di Piala AFC pula. Kami seperti sedang bermimpi dan mengharapkan pengakhiran yang indah.

“Sesiapa yang datang menyaksikan perlawanan ini kecuali PSM Makassar akan merasa gembira dengan aksi malam ini apabila tujuh gol berjaya dijaringkan.

“Setiap kemenangan adalah penting dan pemain akan lebih baik selepas setiap kemenangan. Kami melakukan banyak perubahan dalam corak permainan dan saya gembira dengan keputusan ini.

“Kini kami adalah pasukan terbaik di Asean. Ianya baik buat liga dengan Johor Darul Ta’zim bermain di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC dan kami berjaya sampai sejauh ini di Piala AFC,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Ditanya apa perancangan KL City untuk peringkat seterusnya, Bojan menjawab mereka tidak mempunyai jangkaan tetapi akan tetap bekerja keras dan mengambil setiap perlawanan dengan serius.

Dia juga mengatakan kemenangan ini adalah hadiah Kuala Lumpur City FC buat Malaysia sempena bulan kemerdekaan yang ke-65.