REKOD baik kelab-kelab Malaysia dalam kejohanan Asia musim ini berterusan apabila Kuala Lumpur City FC berjaya layak ke final Antara Zon Piala AFC 2022.
Paulo Josue menunjukkan sifat kepimpinan melalui tauladan apabila dua jaringannya berjaya memberikan kemenangan 5-2 Kuala Lumpur City ke atas PSM Makassar pada aksi final Zon Asean di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Tiga lagi gol KL City dijaringkan oleh Romel Morales, Hadin Azman dan Jordan Mintah yang membuka akaun jaringannya di kejohanan Asia meskipun PSM Makassar cuba bangkit pada pertengahan babak kedua.
Perlawanan pada awalnya dilihat memihak kepada tuan rumah apabila selesa mendahului 3-0 namun beberapa pertukaran taktikal yang dilakukan memberikan PSM Makassar dua gol semangat.
FULL TIME!
5️⃣ Kuala Lumpur City 🇲🇾
2️⃣ PSM Makassar 🇮🇩⚽️ Romel Morales 33′
⚽️ Jordan Mintah 45+2′
⚽️ Paulo Josué 52′ (P), 84′
⚽️ Hadin Azman 90+4′ (P)⚽️ Yakob Sayuri 58′
⚽️ Akbar Tanjung 63′#AFCCup2022— Flash Sukan (@FlashSukan) August 24, 2022
Ketika PSM ghairah menyerang untuk mencari gol penyamaan, KL City menambah dua lagi gol termasuk penalti pada minit terakhir permainan untuk mencipta sejarah baharu buat juara Piala Malaysia 2021 itu.
PSM Makassar yang bermain tanpa dua tonggak utama yang digantung jelas bergelut terutama di bahagian pertahanan dengan pemain KL City berjaya mengambil kesempatan keatas kelemahan itu.
2,905 penyokong yang hadir nyata berpuas hati dengan persembahan mantap yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dengan akhirnya KL City berjaya muncul sebagai pemenang.
Dengan kemenangan ini, KL City berjaya layak ke final Antara Zon dan bakal bertemu sama ada kelab Uzbekistan Sogdiana Jizzakh atau wakil Hong Kong, Eastern pada 5 Oktober 2022.