KETUA jurulatih Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak memberitahu penyingkiran daripada saingan Piala FA tidak menjejaskan moral pemain-pemain untuk mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala AFC.

Skuad Kenari tersingkir daripada aksi Piala FA selepas tewas tipis ditangan Terengganu FC dalam saingan kedua di Terengganu pada Rabu.

“Pemain-pemain saya adalah pejuang, saya yakin mereka akan kembali bangkit untuk mempamerkan prestasi lebih baik bertemu TFC dalam saingan liga minggu depan.

“Saya percaya kemampuan pasukan ini dan sudah menjadi tugas saya meningkatkan semula motivasi pemain-pemain,” ujar Aidil kepada FLASH SUKAN.

Berkongsi mengenai perlawanan tersebut, Aidil Sharin mengakui anak-anak buahnya terganggu tanpa kelibat Mohd Syazwan Zainon.

Pengendali kelahiran Singapura itu berkata, ketua pasukan skuad Kenari itu terpaksa disisihkan dari senarai 18 pemain gara-gara kecederaan dialami di sesi latihan terakhir pada Selasa.

“TFC memberikan kami padang latihan ‘terbaik’ sehingga Syazwan mengalami kecederaan buku lali. Dia cuba mengatasi kesakitan namun tempatnya terpaksa diambil Al Hafiz (Harun) di saat akhir.

“Pertukaran itu menjejaskan perancangan kami, Al Hafiz pemain yang baik dan laju tetapi Syazwan lebih berpengalaman untuk KDA FC mendominasi 90 minit permainan.

“Pemain-pemain sudah memberikan segalanya tetapi nasib tidak menyebelahi Kedah dan kami juga tiada ‘kemewahan’ seperti TFC yang boleh memilih ramai pemain tempatan dan import,” jelasnya.