KEJOHANAN Taekwondo Antara Kelab Taekwondo Malaysia (TM) edisi ke-11 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sejak Jumaat lalu telah menutup tirainya pada Ahad.

Kejohanan berkenaan telah melibatkan penyertaan seramai 1,500 atlet daripada 253 kelab negeri, kelab perdana, dan institusi kebangsaan (ATM & MASUM) yang berdaftar dengan Taekwondo Malaysia (TM).

Matlamat utama kejohanan itu sudah tentu untuk menentukan skuad junior & kadet kebangsaan serta menilai potensi mereka, sekali gus mencungkil lagi bakat sedia ada pada golongan anak muda ini.

Hannah Yeoh dan Sheikh Muszaphar di Majlis Penutupan Kejohanan Taekwondo pada Ahad.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut hadir pada Majlis Penutupan Kejohanan Taekwondo menyatakan bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengalu-alukan lebih banyak penganjuran seperti ini.

“Hal ini kerana ia memberi satu platform terbaik buat anak-anak muda bertanding sebab bukan semuanya merupakan atlet elit. Ia bermaksud, amat penting untuk di peringkat kelab-kelab menganjurkan kejohanan seperti ini.

“Kita nak mewujudkan pertandingan sihat antara anak-anak ini. Kalau mereka hanya berlatih dan tiada platform untuk bertanding, ia seperti tiada makna untuk mereka. Jadi saya ucapkan syabas kepada TM untuk kejohanan ini,” ujar Hannah ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Seramai 1500 peserta yang menyertai saingan taekwondo tahun 2024.

Taekwondo Malaysia yang berperanan sebagai satu-satunya badan pentadbiran bagi sistem World Taekwondo (WT) di negara ini yang bertanggungjawab untuk memastikan arena taekwondo lebih berkembang.

Tidak dinafikan, Taekwondo Malaysia juga telah mencapai kemajuan besar dalam penganjuran kejohanan antarabangsa, pembangunan program belia, dan mempromosikan taekwondo tradisional di negara ini.

Salah satu pencapaian terbesar untuk Malaysia adalah kejayaan meraih hak penganjuran lima acara utama Taekwondo Asia pada tahun 2025. Kejohanan-kejohanan berprestij ini, yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 25 hingga 31 Julai 2025, bakal menyaksikan kehadiran atlet dari 44 negara besar.