
KBS minta MSN siasat komen bersifat rasis pemain hoki wanita negara

KEMENTERIAN Bleia dan Sukan (KBS) telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menjalankan siasatan berhubung komen seorang pemain hoki wanita negara yang didakwa menyentuh isu perkauman yang telah tular di laman sosial.
Arena sukan negara digemparkan apabila satu akaun Instagram yang dipercayai milik pemain hoki wanita kebangsaan didakwa melontarkan komen berbaur perkauman berkaitan kehadiran penonton di konsert komposer tersohor India, A.R Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Atas sebab itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta MSN untuk mendapatkan maklumat daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi membantu siasatan.
“Setelah saya mendapat pandangan daripada MSN kita akan membuat keputusan. Hari ini MSN akan bincang dengan KHM dan saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal,” katanya pada sidang media Sesi Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.
Menjengah laman sosial atlet tersebut @niezhanis, dia telah memuat naik permohonan maaf melalui Instastornya selepas menyedari komennya itu telah disalah tafsir sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan netizen.
“Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas. Saya sedar akan implikasi komen tersebut telah membuatkan ramai pihak terkesan dan telah mengambil tindakan untuk memadam komen tersebut.
“Sepanjang penglibatan saya selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia. Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan,” tulisnya dalam kenyataan itu.
Pemain berusia 26 tahun itu telah membantu Malaysia merangkul pingat emas dalam Sukan SEA 2015 dan 2017 dan pernah memenangi Pemain Harapan Terbaik Asia 2016.