KUCHING City FC terlepas peluang untuk meraih tiga mata penuh apabila Sri Pahang FC bangkit pada babak kedua untuk mengikat kedudukan 2-2 dalam aksi Liga Super yang dramatik di Stadium Negeri, Kuching.

Selepas berjaya memperolehi satu mata di Kuala Lumpur, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak nyata beraksi dengan penuh semangat di bawah terik mentari dan berjaya mengawal keseluruhan permainan pada babak pertama.

Gandingan Tchetche Kipre dan Jordan Mintah sambil dibantu Pedro Henrique serta Syahmie Iszuan dan Danial Amier nyata berkesan dan memberikan kesukaran buat barisan Fandi Ahmad untuk menyekat serangan Kuching City.

Hasilnya pada minit ke-20 Tchetche Kipre membuka akaun jaringannya musim ini dengan gol pertama yang disahkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum Jordan Mintah menambah gol kedua pada penghujung separuh masa pertama.

Sri Pahang pula kelihatan kehilangan punca dan bergelut hingga tidak mampu mengatur gerak untuk mengancam kubu The Cats hingga terpaksa menerima ketinggalan dua gol sebelum perlawanan berhenti rehat.

Namun segala-galanya berubah pada babak kedua apabila Sri Pahang seolah-olah mendapat tonik tambahan dengan pertukaran corak permainan dan berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Adam Nor Azlin pada minit ke-63.

VAR beberapa kali digunakan dalam perlawanan ini (kredit foto: Sri Pahang FC)

Berselang empat minit, Sri Pahang menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan tetapi jaringan Stefano Brundo dibatalkan selepas VAR mengesan pemain Tok Gajah berada pada kedudukan ofsaid.

Kekecewaan itu bagaimanapun tidak lama apabila Manuel Hidalgo berjaya menyamakan kedudukan dan kali ini jaringan itu disahkan selepas sekali lagi VAR menjadi perhatian para penyokong di stadium.

12 minit tambahan masa diberikan dengan kedua-dua pasukan saling menyerang untuk mendapatkan gol kemenangan namun keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan seri itu menyaksikan Kuching City naik ke tangga ketujuh dengan dua mata manakala Sri Pahang naik ke tangga ketingga dengan empat mata selepas berakhir dua perlawanan.