JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak berhadapan masalah untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 4-0 untuk menang dengan aggregat 6-1.
Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim itu, Kuala Lumpur City turun tanpa lapan pemain utama yang berdepan masalah kecederaan, penggantungan serta tiga pemain mewakili negara namun dilihat masih mampu mengimbangi perlawanan pada peringkat awal permainan
Namun Harimau Selatan yang sedikit bergelut pada awal permainan tetap menemui jaring apabila Arif Aiman Hanapi menjaringkan penalti pembukaan sebelum Bergson Da Silva menjaringkan dua lagi gol serta Juan Muniz melengkapkan kemenangan bergaya di hadapan hampir 15,000 penyokong.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio nyata gembira apabila anak-anak buahnya bermain sebagai satu pasukan dengan sering menggerakkan bola bagi memastikan satu lagi kemenangan dalam musim ini.
“Saya gembira kerana mereka bermain baik sebagai satu pasukan dengan baik dan juga pemain penyerang dapat menjaringkan gol tetapi apa yang penting adalah kami dapatkan tunjukkan kualiti kami dan perlu kekalkan prestasi seperti ini kerana musim ini sangat sukar dan masih panjang,” katanya selepas perlawanan.
Ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac juga memuji aksi yang ditampilkan barisan pemain mudanya meskipun sedar bukan mudah untuk menghadapi JDT dalam keadaan pasukan yang serba tempang dan kekurangan.
“Tahniah kepada pemain-pemain muda kami kerana mereka berjuang sehabis baik walaupun tahu bukan mudah berhadapan pasukan terbaik di Asia Tenggara ini dalam keadaan pasukan yang kehilangan pemain utama,” jelasnya.
Kemenangan ini menyaksikan JDT menempah slot ke peringkat separuh akhir dan akan menunggu pemenang antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC untuk misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.