Kredit Gambar: MSN Malaysia

Lennart Jasch menutup kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan penuh bergaya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas perlumbaan lapan peringkat itu berakhir di Putrajaya, hari ini.

Pelumba Tudor Pro Cycling Team tersebut mengumpul masa keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas, sekali gus menewaskan Abel Balderstone daripada Caja Rural-Seguros RGA dengan kelebihan 26 saat.

Rakan sepasukan Jasch, Jan Castellon, melengkapkan podium keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dengan ketinggalan 42 saat daripada pendahulu.

Kejayaan itu turut hadir bersama Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit apabila Jasch mengumpul 45 mata. Petr Rikunov mengakhiri saingan di tempat kedua dengan 41 mata, manakala Castellon mengumpul 26 mata.

Minggu Jasch di Malaysia sememangnya sukar dilupakan apabila sebelum ini beliau mencipta sejarah sebagai pelumba pertama yang memenangi peringkat perlumbaan yang berakhir di puncak Gunung Jerai.

Dalam aksi penutup sejauh 188.3 kilometer dari Muar ke Putrajaya, Matteo Malucelli daripada XDS Astana sekali lagi menunjukkan kepantasan untuk meraih kemenangan peringkat dengan catatan 4 jam 5 minit 17 saat.

Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling menamatkan Peringkat 8 di tempat kedua dengan catatan masa sama, manakala Christian Rees dari Team Picnic PostNL melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Malucelli turut membawa pulang Jersi Biru sebagai Raja Pecut selepas mengumpul 64 mata, mengatasi Pickrell dengan 57 mata dan Nil Gimeno yang mengumpul 22 mata.

Bagi klasifikasi Pelumba Asia Terbaik, Yuhi Todome daripada Aisan Racing Team muncul pemenang dengan catatan 29:04:23, manakala Tsen Ren Bao menjadi pelumba Malaysia terbaik apabila menamatkan saingan di tempat ke-25 keseluruhan.