PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan kemasukan enam muka baharu dalam senarai 21 pemain lelaki Program Podium 2026 sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya, September depan.

Dua tekong muda, Muhammad Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Zin, menjadi sandaran baharu pasukan dalam usaha memperkukuh servis berbisa di pentas antarabangsa.

Turut mencuri tumpuan ialah gandingan apit kanan Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi yang dilihat mampu menambah dimensi agresif dalam corak permainan negara.

Di posisi pengumpan pula, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran serta Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa dibawa masuk bagi merancakkan saingan dalaman dan memberi tekanan sihat kepada pemain senior.

Tiga regu paling berpengalaman kekal dalam Program Podium 2026.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, pemilihan dibuat secara profesional oleh barisan kejurulatihan kebangsaan bersama Jawatankuasa Teknikal PSM berdasarkan garis panduan ditetapkan.

“Pemilihan akhir pasukan sepak takraw kebangsaan merangkumi aspek prestasi semasa, konsistensi, tahap kecergasan fizikal, disiplin latihan, komitmen terhadap program pusat serta kesesuaian taktikal mengikut acara dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan pemain baharu itu selaras dengan perancangan strategik pembangunan prestasi tinggi bagi memperkukuh struktur pasukan dalam acara berpasukan, regu dan kuadran selain memastikan skuad lebih kompetitif.

Dalam masa sama, sepak takraw kekal sebagai Sukan Teras dengan kelulusan penubuhan Skuad Pelapis Kebangsaan manakala skuad wanita turut diperkuat empat muka baharu serta bakal dibimbing pakar perunding dari Thailand hasil persetujuan Majlis Sukan Negara.