KUNJUNGAN kelab gergasi bola sepak England, Manchester United, ke Malaysia bukan sekadar perlawanan bola sepak, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negara.
Keyakinan itu disuarakan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail.
Katanya, setiap acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia secara tidak langsung akan menyumbang kepada ekonomi negara.
Meskipun tidak mempunyai angka rasmi, beliau percaya impaknya sangat signifikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail.
“Tawaran ini tidak hanya terhad di Malaysia, tetapi turut mempromosikannya ke seluruh rantau Asia Pasifik. Kami mahu rakan-rakan dari seluruh rantau ini terbang bersama Malaysia Airlines dan datang ke Kuala Lumpur untuk turut sama merasai perlawanan ini,” katanya.
Jelas beliau, penganjuran jelajah global Manchester United berpotensi menarik minat pelancong luar sekaligus mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi domestik.

Lagenda Manchester United turut memeriahkan booth MAS di Matta fair.
Gabungan sukan dan penerbangan ini dijangka mencipta pengalaman luar biasa bagi menjadikan Malaysia sebagai hab acara bertaraf dunia.
Kapten Izham, yang turut mengakui sebagai peminat setia Manchester United sejak kecil, turut berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung sambil menikmati promosi istimewa yang ditawarkan.