KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Darul Aman dalam perlawanan minggu ke-18 pada Jumaat.
Walaupun jumlah kehadiran penyokong agak hambar, gol tunggal Fayadh Zulkifli sudah cukup untuk mengangkat Kedah ke tangga keenam liga dengan 20 mata selepas 17 perlawanan, meninggalkan Kelantan terus tenggelam di tangga ke-12 dengan hanya tujuh mata.
Pasukan Sang Kenari di bawah bimbingan ketua jurulatih interim Victor Andrag, mempamerkan corak permainan yang agresif sejak wisel permulaan dibunyikan.
Kelebihan bermain di Darul Aman ternyata memberi impak apabila Kedah kerap memberi tekanan kepada Kelantan menerusi gerakan pantas dari bahagian tengah yang dikemudi Halim Saari.
Halim memainkan peranan penting dalam gol pembukaan perlawanan apabila lorongannya pada minit ke-16 disempurnakan dengan tenang oleh Fayadh Zulkifli.
Kelantan, yang turun dengan jersi merah putih tradisi mereka, lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan. Anak buah Park Jae Hoe hanya sesekali mencipta ancaman menerusi serangan balas pantas, namun ketumpulan penyudah terus menjadi isu utama.
Peluang terbaik mereka di separuh masa pertama hadir pada minit ke-15 apabila hantaran cantik Fazrul Amir gagal dimanfaatkan oleh Adam Daniel. Fazrul sekali lagi hampir mencipta magis pada masa tambahan separuh masa pertama, tetapi rembatan leretnya sekadar melewati tiang gol Kedah.
Memasuki separuh masa kedua, Kedah meningkatkan intensiti serangan tetapi berdepan kesukaran menembusi benteng Kelantan yang bertahan dengan disiplin.
Peluang terbaik Kedah hadir menerusi percubaan jarak jauh pemain pertahanan, Kamil Akmal, pada minit ke-66, namun bola tersasar tinggi.
Pemain gantian Kelantan, Asyraf, hampir mengubah nasib pasukan apabila rembatan cantiknya pada minit ke-75 ditepis cemerlang oleh penjaga gawang Kedah.
Walaupun Kedah cuba memperkukuhkan serangan dengan memasukkan Syafiq Ahmad, perlawanan terus berlangsung dalam tempo perlahan sehingga wisel penamat.
Dengan kemenangan ini, Kedah melonjak ke tangga keenam liga, sementara Kelantan kekal bergelut di zon bahaya.
Selepas perlawanan ini, Kedah akan terbang ke Kuching untuk berdepan Kuching City FC pada 24 Januari, manakala Kelantan akan menghadapi Perak FC di Stadium Manjung pada 26 Januari.