
Adam Adli rasmi Piala Presiden 2023

PIALA Presiden 2023 telah membuka tirai dengan perlawanan sulung antara Kuala Lumpur City (KL City) FC yang melayan kunjungan Negeri Sembilan FC.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Sebanyak 16 pasukan bertanding dalam aksi Piala Presiden dengan hanya terdapat dua penambahan iaitu Melaka FA dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah-17 (B-17).
Saingan kali ini dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A, B ,C dan D. Zon A dibarisi Sri Pahang FC, Kelantan United FC, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC III.
Bagi Zon B pula membariskan Penang FC, Kelantan FC, Perak FC III dan Akademi Mokhtar Dahari Bawah 17 Tahun. Zon C diwakili Sabah FC, KL City FC, Negeri Sembilan FC dan Selangor FC Bawah 20 Tahun.
Manakala Zon D pula dibahagikan kepada Melaka FA, Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim III dan PDRM FC.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard.