APA yang sedang berlaku kepada pasukan LMS Tigress yang bertanding dalam Liga Wanita Nasional (LWN) musim ini selepas mereka tidak hadir dalam perlawanan terbaharu menentang Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) di Gambang pada Rabu.

Perlawanan tertunda yang sepatutnya berlangsung pada jam 4.45 petang itu terpaksa dibatalkan dan akhinya komisioner perlawanan memutuskan untuk memberikan kemenangan percuma 3-0 buat SSMP sekaligus melonjakkan mereka ke tangga teratas liga.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini pada Julai mengumumkan secara rasmi penyertaan pasukan LMS Tigress FC dalam saingan LWN menggantikan slot pasukan Raintown FC Tigress yang telah menarik diri.

Ura-ura permasalahan melanda pasukan ini mula kelihatan pada perlawanan sebelum ini menentang Selangor FC apabila hanya 12 pemain yang didaftarkan untuk aksi itu dan hanya seorang sahaja pemain simpanan disenaraikan dalam skuad.

Ironinya, perkara ini berlaku pada hari yang sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahukan lebih ramai lagi pasukan bola sepak wanita dibentuk pada masa hadapan ketika berkata demikian pada majlis penutup Kursus Pembangunan Liga FIFA/FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya.

FLASH SUKAN berjaya menghubungi kapten pasukan, Steffi Sidhu namun dia tidak mahu memberikan sebarang komen kerana keputusan dibuat oleh pasukan dan dia merasa sedih dengan tindakan itu.

Dengan keputusan tidak hadir ke perlawanan itu, LMS Tigress kini di tangga kelima dari enam pasukan dengan tujuh mata selepas tujuh perlawanan dan nasib mereka dalam baki tiga lagi perlawanan selepas ini masih tidak dapat ditentukan.

LMS Tigress dijadualkan bertemu Sabah, Malaysian University dan Kelana United sebelum menutup tirai Liga Wanita Nasional 2023 yang julung kali diadakan dengan format ‘home and away’.

Sehingga artikel ini diterbitkan, cubaan untuk menghubungi pihak pengurusan LMS Tigress masih lagi tidak berjaya.