PELUANG menyaksikan pertemuan Malaysia-Malaysia pada perlawanan akhir beregu campuran semakin hampir apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah satu lagi slot ke separuh akhir petang Jumaat.

Ternyata semangat mara ke final Jelajah Dunia Akhir Disember lalu, masih membara dalam diri mereka, apabila menang mudah ke atas pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-18 dalam masa 36 minit.

Begitupun, mereka enggan terlalu memikirkan pencapaian melangkah ke separuh akhir, kerana menganggap perjuangan di gelanggang sendiri belum berakhir.

“Esok lawan kami lebih kuat dan mereka juga amat konsisten.. tapi kami tetap akan berikan cabaran yang terbaik,” kata Tang Jie.

Pasangan utama negara itu, akan berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Justeru, Ee Wei berkata, mereka perlu mempamerkan peningkatan prestasi dalam perlawanan separuh akhir itu.

“Kami perlu fokus bagaimana nak dapatkan mata dan kekal stabil di gelanggang, selain mempercayai satu sama lain dan lebih fokus untuk perlawanan esok,” kata Ee Wei.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei memenangi dua perlawanan daripada enam pertemuan sebelum ini.

Malah Ee Wei mengakui alangkah baiknya jika mereka dan Goh Soon Huat-Shevon Lai sama-sama melangkah ke final.

Pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei di Terbuka Malaysia sebelum ini adalah mara ke suku akhir pada tahun 2023.