PAPUA New Guinea ternyata bukan tandungan Malaysia apabila mudah diratah 10-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa malam.

Skuad negara bermula garang dengan tolakan Shahrul Saad berpunca sepakan percuma Safawi Rasid minit ketiga disusuli percubaan Azam Azmi Murad seminit kemudian ditepis keluar.

Gerakan terbaik Harimau Malaya terlihat menerusi gerakan Safawi dari sebelah kiri menyaksikan hantarannya singgah tepat di kaki Azam Azmi Murad namun sekali lagi dinafikan minit ketujuh.

Peluang terbaik negara menjelma ketika permainan memasuki minit ke-30 namun Safawi mensia-siakan situasi satu lawan satu dengan tolakan kaki kirinya mudah dibaca Ronald Warisan.

Kubu Harimau Malaya nyaris dikejutkan serangan balas pelawat mujur percubaan leret Ati Kepo (m-32) disusuli tandukan Kolu Kepo (m-32) diselamatkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Kebuntuan akhirnya terlerai minit ke-45 berpunca kekasaran Solomon Rani ke atas Akhyar dalam kotak penalti sebelum Safawi menyudahkan sepakan dari jarak 12 ela untuk gol pembukaan.

Harimau Malaya mula meratah Papua New Guinea tujuh minit bersambung babak kedua hasil jaringan Josue berpunca gerakan Daniel Ting dari sebelah kiri.

Bermula hantaran jauh Dominic Tan, Arif Aiman (m-57) bijak melepasi perangkap ofsaid untuk tenang menyumbat gol ketiga disusuli jaringan Faisal Abdul Halim minit ke-59.

Gandingan dua pemain itu memberikan gol kelima apabila Arif Aiman (m-60) mudah mendada masuk bola ke dalam pintu gol hasil hantaran Faisal dari sebelah kiri.

Penyerang KL City FC, Josue kemudian mencetak gol kedua peribadi dan melengkapkan hatrik minit ke-64 serta minit ke-70 selepas menyudahkan umpanan Arif Aiman.

Malam sempurna Harimau Malaya diteruskan Daniel pada minit ke-76 yang menjadikan kedudukan 8-0 sebelum Arif Aiman turut mencetak hatrik pada minit ke-87.

Pelawat tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang melengkapkan kemenangan 10-0 menerusi Arif Aiman (m-89) sekaligus menceriakan hampir 10,000 penyokong negara.