PEMANGKU Sultan Johor, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim menjangkakan keputusan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berubah.
Baginda berpendapat bahawa peluang untuk melihat keputusan itu berpihak kepada Malaysia amat tipis, malah tidak menolak kemungkinan hukuman sedia ada akan kekal atau mungkin disusuli tindakan tambahan oleh badan induk dunia itu.
“Pada pendapat saya, keputusan FIFA ini tidak akan berubah. Kalau bertukar pun, mungkin akan membabitkan hukuman,” titah Tunku Ismail dalam sidang media pada Sabtu.
Hukuman itu bukan sahaja memberi tamparan besar kepada reputasi skuad kebangsaan, tetapi turut menjejaskan perjalanan Harimau Malaya dalam beberapa siri aksi antarabangsa terutama dalam kelayakan Piala Asia 2027.
Difahamkan, rayuan rasmi FAM terhadap keputusan berkenaan telah dikemukakan dan keputusan muktamad dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.
Namun, pandangan TMJ memberi gambaran jelas bahawa Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk implikasi lanjut terhadap struktur pasukan kebangsaan serta masa depan pemain-pemain terlibat.