BERBICARA tentang silat, nama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pasti menjadi perhatian sebagai badan utama yang menjaga dan memartabatkan seni pertahanan diri tradisional negara ini.
Namun, bagi memastikan silat kekal relevan dan diwarisi generasi demi generasi, sokongan daripada seluruh komuniti termasuk semua negeri amat diperlukan.
Menyahut cabaran ini, Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia bersama Pesaka Negeri Kedah tampil menganjurkan Kejohanan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah bermula 31 Oktober hingga 4 November 2024.
Kejohanan ini bakal menjadikan Kedah Darul Aman sebagai pusat tumpuan hampir 2,000 peserta, termasuk pesilat dari negara-negara Asean, menjadikan kejohanan ini platform terbaik untuk bakat-bakat tempatan bertemu dan beradu kemahiran dengan pesilat antarabangsa.
Menurut Penaung Pesaka Kedah, Datuk Zuraidi Ibrahim, kejohanan ini merupakan edisi sulung yang dirancang sebagai langkah pertama bagi menghidupkan kembali penganjuran silat di peringkat kebangsaan dengan skala yang lebih besar serta lebih berprestij.
Edisi pertama ini akan mempertandingkan empat kategori utama, Silat Tanding Terbuka Dewasa, Tanding Remaja, Tanding Individu, dan Silat Seni Berkumpulan.
Lebih menarik lagi, kejohanan kali ini juga menyaksikan pembabitan pesilat cilik yang berusia seawal lima dan enam tahun.
Ini menjadi bukti usaha gigih pihak penganjur untuk melahirkan bakat-bakat muda dan mencetus minat terhadap silat seawal usia.
Kejohanan ini bukan sekadar peluang untuk para pesilat meraih pengalaman dan kemahiran, malah ia adalah medan penting untuk mengenalpasti pelapis-pelapis silat yang akan mewarnai arena sukan negara suatu hari nanti.
Pentingnya kejohanan ini sebagai medan persiapan atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) 2026, khususnya bagi membentuk pasukan pelapis negeri dan kebangsaan yang berkualiti tinggi.
Dengan sokongan daripada masyarakat setempat dan kolaborasi antarabangsa, kejohanan ini diharapkan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan silat sebagai sukan yang diiktiraf dunia tetapi juga membangkitkan semangat patriotisme dalam mempertahankan warisan tradisional Malaysia.
Penganjuran Kejohanan Silat Terbuka Kebangsaan dan Antarabangsa di Kedah ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha Pesaka dan Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia untuk mengangkat martabat silat sebagai sukan yang penuh nilai budaya dan kebanggaan negara di persada dunia.