PASUKAN Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) secara rasmi disahkan akan beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penyertaan kelab itu bagi menggantikan PDRM FC yang menarik diri daripada pertandingan.

Keputusan itu dibuat susulan penarikan diri rasmi PDRM FC, yang memaklumkan kepada MFL bahawa mereka mahu memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.

Penyertaan KRW FC sekali gus melengkapkan senarai 12 pasukan yang akan bersaing dalam saingan Liga Super musim baharu.

Sebelum ini, KRW FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro di tangga keempat telah melengkapkan semua keperluan pelesenan, khususnya melibatkan kriteria kewangan, bagi melayakkan mereka dipertimbangkan untuk beraksi di liga tertinggi negara.

MFL turut memaklumkan bahawa KRW FC berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding dua lagi pemohon, UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC, yang turut memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB).

Sementara itu, Armed Forces FC yang turut beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai Liga Super musim 2026-2027.

Dengan kemasukan Kelantan Red Warrior FC, saingan Liga Super musim ini akan disertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC dan Kelantan Red Warrior FC.

Kehadiran semula wakil dari Kelantan itu dijangka menambah warna baharu dalam saingan Liga Super, selain menghidupkan semula keterujaan penyokong bola sepak di Pantai Timur menjelang sepak mula musim 2026-2027.