JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi berada di pentas separuh akhir Piala Malaysia sejak musim 2019 dan mereka tidak pernah gagal di peringkat ini untuk layak ke perlawanan akhir.

Kini juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super 2022 ini bakal berhadapan Sabah FC dalam misi mereka muncul pasukan pertama memenangi kesemua trofi domestik yang dipertandingkan.

Pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio tidak gusar tentang lawan yang bakal ditentang sebaliknya lebih memikirkan tentang skuadnya yang menang mudah agregat 8-0 ke atas Kelantan pada peringkat suku akhir.

Hector Bidoglio (kiri) terus cemerlang kendalikan JDT dalam kempen TM Piala Malaysia musim ini.

“Perlawanan menentang Sabah ini adalah perlawanan yang sukar dan saya hanya memikirkan tenang pasukan saya sahaja dan bukan kepada lawan. Pemulihan pemain dan latihan sangat penting kerana kami perlu lagi memperbaiki permainan kami.

“Saya sentiasa mahukan perubahan apabila saya melatih dan kini kami bermain baik dan sentiasa bertambah baik sesuai dengan idea yang diterapkan ketika latihan,” katanya.

Hector pastinya berada pada kedudukan yang cukup selesa untuk melakukan pemilihan pemain kerana kesemua pemain berada dalam keadaan yang baik dan bebas dari penggantungan perlawanan.

Perkara sama turut diakui oleh penyerang berbisa, Bergson Da Silva yang berjaya mencatat hatrik ketika bertemu Kelantan dengan fokusnya hanya kepada perlawanan seterusnya dan mahu memberikan aksi terbaik.

Bergson Da Silva

“Persiapan berjalan lancar dan kami berjaya mendapatkan rehat yang cukup. Kami juga sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik dan segala-galanya akan diberikan untuk memastikan kami layak ke perlawanan akhir kerana ianya adalah perkara yang paling penting ketika ini,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, JDT sudah berhadapan Sabah FC sebanyak lapan kali dan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus ke atas Skuad Badak dengan dua pertemuan Liga Super musim ini menyaksikan Harimau Selatan menang 2-1 di Likas dan 3-0 di Iskandar Puteri.