PASUKAN Terengganu FC terus menunjukkan kematangan sebagai antara kelab paling progresif di Liga Super apabila menjalin kerjasama rasmi dengan jenama sukan terkemuka Indonesia, MILLS, sebagai Kasut Sukan Rasmi bagi musim 2025–2026.
Kerjasama itu bukan sekadar menambah gaya, tetapi turut memperkukuh aspek prestasi dan profesionalisme pasukan apabila semua pemain dari skuad utama hingga pembangunan akan menggunakan kasut keluaran MILLS yang terkenal dengan teknologi canggih dan keselesaan bertaraf antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, berkata kolaborasi ini mencerminkan kekuatan jenama Terengganu FC yang kini mampu menarik minat syarikat antarabangsa.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan MILLS. Ini sejajar dengan visi kami untuk menyediakan kelengkapan terbaik buat semua pemain bagi memastikan prestasi optimum,” ujarnya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman di Jakarta.

Tambahnya, kerjasama ini bukan hanya memberi manfaat kepada skuad utama tetapi juga skuad pembangunan, dalam usaha kelab mencipta kejayaan yang lebih konsisten di semua peringkat pertandingan.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran MILLS, Stevendy Tjen, menegaskan bahawa potensi besar yang dimiliki Terengganu FC di pentas tempatan dan antarabangsa menjadi faktor utama jenama itu memilih untuk bekerjasama dengan kelab Pantai Timur tersebut.
“Kami melihat TFC sebagai kelab yang berpotensi tinggi. Dengan kekuatan R&D yang kami miliki, kami berharap kerjasama ini mampu memberi impak positif kepada bola sepak Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyatakan, kolaborasi ini sebahagian daripada usaha MILLS untuk menembusi pasaran global selepas berjaya menaja kelab Eropah seperti Tranmere Rovers dan F.C.V Dender.

MILLS bukanlah nama asing di pentas antarabangsa setelah menjadi pembekal rasmi untuk skuad kebangsaan Indonesia di Piala Asia 2023 serta perlawanan berprofil tinggi menentang Argentina tahun lalu.
Melalui kerjasama ini, Terengganu FC dan MILLS dijangka akan memperkenalkan pelbagai inisiatif promosi serta aktiviti eksklusif yang bakal mengeratkan hubungan dengan komuniti penyokong — sekaligus mengukuhkan lagi jenama kedua-dua pihak di rantau ini.
SUMBER GAMBAR : TFC