ATAS kertas, skuad bola sepak kebangsaan B-17 dilihat tidak bermasalah menewaskan Guam pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Stadium Pakansari, Bogor pada Rabu.
Sudah tentu, objektif utama anak buah Osmera Omaro adalah wajib menang kerana sedar dua perlawanan akan datang dijangka sukar kerana harus berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah Indonesia.
Pemain juga akan menamatkan baki tiga perlawanan Kumpulan di stadium kosong, susulan insiden rusuhan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang, baru-baru ini.
Jelas pengendali antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah setiap pasukan yang bertanding kali ini ada peluang untuk layak ke pusingan akhir.
“Kena ingat, semalam Indonesia menang besar 14-0 ke atas Guam. Jadi, perkara sama (menang besar) juga perlu dilakukan pasukan negara kita.
“Malaysia B-17 harus menang minima 8-0, 9-0. Perlawanan ini tidak boleh berakhir seri atau kalah.
“Bahkan, Guam juga tewas besar 9-0 dalam aksi persahabatan kepada UAE sebelum ke sini. Mentaliti lawan juga jatuh teruk dan Guam hadir hanya untuk menikmati permainan.
“Pada masa sama, mereka perlu berhati-hati. Dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.
“Cuma yang harus dirisaukan adalah pencabar dua lagi pasukan iaitu UAE dan Indonesia. Setiap pemain mesti kerja keras 90 minit perlawanan.
“Insha Allah, baik UAE, Indonesia dan Malaysia semua punyai peluang sama-rata untuk layak,” ujarnya ketika dihubungi.
Bekas jurulatih UiTM FC ini juga memuji Arami Wafiy Zakimi sehingga dipilih sebagai Pemain Terbaik semasa Malaysia mengalahkan Palestin.
Dia bertindak cemerlang termasuk menghasilkan satu jaringannya memastikan skuad Harimau Malaya B-17 mencatat keputusan positif.
“Pemain kita rata-rata cukup bagus. Jika rentak ini dikekalkan tak mustahil harapan ke Bahrain pasti terbuka,” katanya.
Carta Kedudukan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia B-17 2023
Sementara itu, Raja Isa mengucapkan takziah kepada Kerajaan Indonesia serta seluruh rakyatnya atas tragedi di Stadium Kanjuruhan.
“Saya sangat terkejut dan sedih mendengar berita tragis seperti itu datang dari Indonesia, yang sangat meminati bola sepak.
“Bagi pihak saya dan keluarga bola sepak di Indonesia, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa, ucapan takziah kepada mereka semua.
“Kami juga berharap agar penyokong yang cedera dalam insiden itu segera pulih,” katanya pernah mengendalikan kelab Liga Indonesia, antaranya Persipura Jayapura, PSM Makassar, Persiram Raja Ampat, PSMS Medan dan Persijap Jepara.