STADIUM Sultan Ibrahim (SSI)  bukan sahaja menjadi stadium utama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi juga kini menjadi mercu tanda dan tempat pelancongan untuk negeri Johor.

Kecanggihan dan kecantikan stadium ini sememangnya menjadi perhatian ramai dan mendapat pujian daripada banyak pihak termasuk pasukan dari Jepun, Korea Selatan, China dan Jerman.

Tarikh 22 Februari 2023 merupakan ulang tahun ketiga stadium ini yang dibuka pada tahun 2020 dengan penuh gemilang dan sejak itu ianya sudah menganjurkan pelbagai acara bola sepak dan juga acara tidak melibatkan bola sepak.

Tinjauan FLASH SUKAN ketika perlawanan Piala Sumbangsih mendapati ada satu perkara yang dilakukan oleh JDT yang boleh menjadi contoh dan ikutan kepada semua pemilik bangunan di Malaysia.

Keadaan di persekitaran dalam dan luar stadium berada dalam keadaan yang sangat kemas malah tidak keterlaluan jika dikatakan lebih baik berbanding ketika hari pembukaan rasmi tiga tahun lalu.

Laluan sekitar stadium juga semakin diperindah dengan pohon menghijau dan keadaan bersih dapat dilihat hasil daripada jadual penyelenggaraan yang sentiasa dititik beratkan oleh pengurusan kelab terbaik di negara ini.

Keadaan di dalam stadium juga sangat baik. Tiada kelihatan najis burung dapat dikesan seperti kebiasaan di stadium-stadium yang lain dan yang paling utama keadaan tandas turut dalam berkeadaan baik dan berfungsi serta surau yang bersih dan selesa.

Perkara seperti ini yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak yang mempunyai kontrak menyelenggara bangunan bagi memastikan keadaan bangunan sentiasa baik dan berfungsi.

Stadium Sultan Ibrahim berada dalam keadaan baik bukan kerana dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetapi kerana beliau adalah seorang yang sangat teliti dalam setiap perkara termasuk kontrak penyelenggaraan stadium bagi memastikan keadaan yang bersih dan selesa buat pengunjung.

Namun bertambah menarik, tiket kemasukan yang dikenakan kepada para penyokong hanyalah serendah RM10 dan ini adalah harga terendah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium yang canggih dan moden ini.