KETINGGALAN dua gol seawal 10 minit perlawanan tidak menghalang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempertahankan kejuaraan Perak Football Varsity Challenge buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan UiTM Cawangan Perak 3-2, 29 Oktober lalu.
Kemenangan dramatik itu mengesahkan dominasi UPSI dalam kejohanan bola sepak institusi pengajian tinggi (IPT) negeri Perak, sekali gus mengekalkan gelaran yang dimenangi sejak edisi pertama.
Beraksi di gelanggang lawan, UPSI dikejutkan dengan dua jaringan pantas tuan rumah menerusi Muhammad Hanif Nazmi Hazuan dan Adeeb Irman Ezani Saiful Azni dalam tempoh 10 minit pertama.
Bagaimanapun, UPSI tidak mudah mengalah apabila memperkemaskan permainan dan mula memberi tekanan kepada tuan rumah, sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan misi memburu kebangkitan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Muhammad Iskandar Aznan merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-56, sebelum Muhammad Danish Mazlan Abdullah menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-68.
Ketika perlawanan seakan-akan menuju keputusan seri, Danish muncul wira UPSI apabila sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-84 untuk melengkapkan kebangkitan dramatik dan menghadiahkan kemenangan 3-2 buat pasukannya.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila UPSI menewaskan UiTM Cawangan Perak yang hadir dengan reputasi selaku juara Liga Bola Sepak IPT Divisyen 3 2026, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai juara tiga edisi berturut-turut Perak Football Varsity Challenge, Piala Yang Berhormat Dato’ Khairudin Abu Hanipah.