SIRI jelajah ke China bukan sekadar persiapan fizikal buat skuad hoki wanita negara, sebaliknya medan penentu buat pemain membuktikan siapa layak ke Piala Negara-Negara 2 di Poland, Jun ini.
Pasukan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim akan beraksi tujuh kali menentang skuad wanita Liaoning Province bermula 7 hingga 17 Mei.
Menurut Nasihin, jelajah ini bukan semata-mata untuk menang, tetapi lebih kepada menilai karakter, keserasian serta keupayaan pemain membuat keputusan di bawah tekanan.
“Ini bukan jelajah suka-suka. Saya nak tengok siapa betul-betul bersedia untuk ke Poland nanti,” katanya.
Pasukan Liaoning dipilih kerana turut dibarisi pemain remaja kebangsaan China dan berada dalam fasa akhir persediaan ke kejohanan domestik, menjadikan mereka lawan yang sesuai untuk menguji aspek teknikal dan taktikal skuad Malaysia Tigress.
Selain aspek pertahanan, Nasihin memberi fokus kepada eksperimen taktikal seperti tekanan tinggi, susunan serangan serta ketajaman pukulan sudut penalti, sambil menilai tahap kecergasan dan kefahaman pemain terhadap corak permainan.
Seramai 23 pemain dibawa ke China dan kesemua mereka kini bersaing untuk menempah tempat ke Nations Cup 2, dengan peluang masih terbuka kepada yang mampu membuktikan komitmen dan kesungguhan sepanjang siri persahabatan ini.
“Menang kalah bukan ukuran utama, tapi saya nak lihat siapa yang sanggup berjuang dan kekal fokus dalam setiap minit permainan,” jelas Nasihin yang mahu memastikan hanya yang benar-benar layak akan ke Poland.