KEGAGALAN skuad hoki lelaki negara melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH baru-baru ini mencetus tanda tanya, adakah pemain sendiri yang ‘menggadai’ nasib pasukan di saat getir?
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, kegagalan itu bukan semata-mata berpunca daripada ketua jurulatih, Sarjit Singh, sebaliknya pemain juga wajar memikul tanggungjawab.

“Kita dah leading 3-0 lawan New Zealand, tapi jadi kelam-kabut bila pemain kena kad. Saya rasa memang tak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan pemain senior yang dah lama dalam skuad,” katanya, dengan nada kesal dalam sidang media di pejabat KHM.
Malaysia yang beraksi sebagai tuan rumah hanya menamatkan kejohanan di tempat keenam selepas tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat ke-5 dan 6, satu keputusan yang nyata menghampakan peminat tempatan.

Subahan turut mengingatkan bahawa pemain berpengalaman seharusnya menjadi tonggak kekuatan pasukan, bukannya pencetus masalah yang merugikan ketika pasukan berada di depan.
“Saya dah jadi presiden sembilan tahun. Ramai pemain senior masih ada. Mereka kena main peranan. Jangan gadaikan nasib pasukan dengan tindakan tak profesional di padang,” ujarnya.
Namun, beliau tetap menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan, sambil menyifatkan prestasi keseluruhan Speedy Tigers masih berada pada landasan yang baik, asalkan kelemahan teknikal dan disiplin dapat segera diperbaiki.