SEMUA maklum akan kekuatan jenama yang dimiliki Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga berlumba-lumba syarikat tempatan dan antarabangsa yang mahu menjalin kerjasama strategik dengan skuad berpangkalan di Iskandar Puteri itu.
Ketokohan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor juga tidak dapat dinafikan apabila dia memastikan semua kerjasama strategik yang dijalin akan memberikan manfaat buat juara Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut itu.
Antara kerjasama strategik utama yang berjaya dijalin adalah bersama syarikat penerbangan kebanggaan negara, Malaysia Airlines (MH) yang jelas memberikan impak positif sehingga Harimau Selatan berjaya mencipta rekod yang cukup mengagumkan dan dilihat sukar dicabar.
Selepas menewaskan Terengganu FC 1-0 di Gong Badak, JDT melebarkan tanpa kalah di tempat lawan kepada 70 perlawanan. Rekod ini dicipta sejak bulan Mac 2018 hingga kini yang sudah hampir mencecah lapan musim.
Kerjasama strategik antara JDT dan MH dilihat menjadi antara penyumbang kepada rekod ini kerana skuad Harimau Selatan tidak kepenatan ketika ‘away days‘ kerana mereka menaiki pesawat sewa khas dan mengikut masa yang dimahukan oleh pihak kelab.
Kelab dan syarikat penerbangan berbincang antara satu sama lain mengenai jadual perlawanan dan masa yang sesuai untuk terbang serta tiba di destinasi mengikut jadual rutin harian para pemain sekaligus mengelakkan kepenatan di dalam perjalanan.
Sering kedengaran jurulatih kelab lain yang mengadu tentang jadual penerbangan yang melelahkan kerana terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang ekoran terpaksa mengikut jadual penerbangan komersil dengan transit yang memenatkan.
Berbeza dengan JDT di mana selepas para pemain selesai menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam, kesemua mereka dibawa menaiki pesawat yang terbang terus ke destinasi tanpa perlu menunggu dan tiba di hotel penginapan dalam keadaan yang segar dan bersedia untuk berehat atau tidur.
Rehat yang cukup adalah salah satu elemen penting buat pemain bola sepak dan JDT seperti biasa mengambil berat akan perkara ini dan penerbangan sewa khas ini sangat penting sebagai persiapan sehari sebelum perlawanan.
Perkara yang sama juga berlaku apabila selesai perlawanan, pemain JDT terus di bawa ke lapangan terbang untuk penerbangan pulang ke Senai dan langsung pulang ke rumah masing-masing dengan selesa sebelum menghadiri sesi ‘recovery’ keesokkannya.
Pemain yang cukup rehat dan dapat menjalani proses ‘recovery‘ yang baik pastinya akan menghasilkan keputusan yang baik di atas padang dengan aksi mantap sepanjang 90 minit dan mengurangkan risiko kecederaan.
Perkara-perkara sebegini mungkin dilihat kecil tetapi sebenarnya inilah pelaburan yang cukup baik dan kerjasama strategik seperti ini berjaya digunakan untuk memberikan manfaat buat pasukan sekaligus mengekalkan konsistensi kemenangan tanpa mengira di mana sahaja lokasi perlawanan dilangsungkan.
Ilmu sains sukan dan pemasaran digabungkan menjadi satu kerjasama yang baik sekaligus memberikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak di mana JDT berbangga dengan rekod tanpa kalah dan Malaysia Airlines pula berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah dengan ‘Malaysian Hospitality’ mereka buat para pemain dan pegawai.
Atas sebab ini juga, kerjasama strategik ini dilanjutkan sehingga tahun 2026 dengan JDT dilihat akan terus meluaskan kuasanya hasil keputusan yang dibuat pada masa terdahulu.