PASUKAN M8 Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di RCS Runbike World Championship 2025, apabila sembilan pelumba mara ke Final A & Final B.

Bilangan ahli M8 yang ramai mara ke final itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding penyertaan tahun sebelumnya.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, prestasi ditunjukkan pelumba Malaysia kali ini jauh lebih baik berbanding tahun 2023.

“Alhamdulillah, prestasi yang cukup baik dan membanggakan untuk pasukan M8 Malaysia. Pada 2023 di Jepun, kami hanya membawa tujuh pelumba dengan hanya seorang, Maleeq Dragster ke final, tahun ini situasinya jauh lebih baik,” katanya.

RCS Runbike World Championship 2025 berlangsung di Tokyo Jepun pada 17 sehingga 19 Januari lalu.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli (kanan) bergambar bersama Maleeq yang menaiki podium.

Maleeq Dragster, yang menjadi satu-satunya wakil Malaysia ke final pada tahun 2023, sekali lagi menampilkan prestasi luar biasa apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dunia dalam kategori 5 tahun lelaki.

“Sasaran kami adalah untuk Maleeq menjuarai perlumbaan kali ini, namun perlumbaan yang sukar menyebabkan dia terhimpit di permulaan dan sukar untuk segera ke hadapan. Walaupun begitu, kami tetap berpuas hati kerana dia masih mengekalkan podium,” tambah Datuk Seri Wan Mohd Muzri.

Kejuaraan tahun ini dimenangi oleh Tiangua dari China, diikuti Hong Yi dari Taiwan di tempat kedua dan Ono Sota dari Jepun di tempat ketiga.

Selain Maleeq, abangnya Mikael turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ke-14 dunia dalam kategori 7 tahun lelaki.

Sementara itu, Mikayla mencatat keputusan cemerlang apabila menduduki tempat kedua dalam kategori Open Girl – Challenge Cup, menjadikan satu lagi kejayaan manis buat pasukan M8 Malaysia.

Datuk Seri Wan Mohd Muzri turut menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil corak latihan yang semakin efektif, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada jurulatih pasukan M8 Team – Coach Omar, Muhaimin, dan Khai atas usaha mereka dalam membentuk pelumba ke tahap terbaik.

Sebagai langkah seterusnya, pasukan M8 Malaysia akan membawa jurulatih dari Jepun dan China ke Malaysia untuk memberikan latihan intensif kepada pelumba dan jurulatih tempatan. Selain itu, juara dunia Fuki dari Omalleyz x M8 Japan juga akan diterbangkan ke Malaysia bagi memberi tunjuk ajar kepada pelumba-pelumba M8.

“Dengan persiapan dan latihan yang lebih mantap, kami yakin dapat membawa kejuaraan dunia kembali ke Malaysia pada tahun 2026, Insya-Allah,” tambahnya.