KELANTAN Darul Naim FC (KDNFC) bakal berdepan satu misi besar iaitu menentang skuad gergasi Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi pusingan ke-16, Piala FA 2024-25 pada Sabtu.

Pengendalinya, Park Jaehong mengakui bahawa ia bukan satu tugas mudah apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim tetapi dengan kerja keras dan semangat juang tinggi, Kdn FC tetap tekad untuk menyaingi JDT pada malam ini.

Menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, pihaknya mungkin menekankan aspek ‘bertahan’ dalam permainan tetapi tetap akan melancarkan serangan agresif apabila mendapat ruang.

Justeru itu, Park Jaehong mahu anak buahnya untuk tidak mudah berputus asa serta kekal bekerja keras pada keseluruhan 90 minit perlawanan agar berjaya memberi tentangan kepada juara bertahan tersebut.

Park Jaehong, pengendali skuad Kelantan Darul Naim FC.

“Kami akui pihak tuan rumah adalah sebuah kelab cukup solid dan dibarisi pemain terbaik dalam Liga Malaysia. Tidak mudah untuk semua pasukan beraksi disini termasuk Kelantan Darul Naim.

“Bagaimanapun, saya tetap berkeyakinan pemain saya akan memberi saingan sekaligus tidak memberi laluan mudah kepada JDT.

“Paling penting, pemain tidak boleh berputus asa, mesti bekerja keras dan melancarkan serangan yang agresif sebaik mendapat peluang pada perlawanan berkenaan,” ujar Park Jaehong.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa skuad Sang Kijang Emas wajib meminimakan kesilapan mudah yang terjadi pada perlawanan sebelum ini, yang boleh menghukum mereka sekali lagi di gelanggang JDT.

“Beraksi seperti biasa, jangan gugup dan paling utama, manfaatkan segala ruang yang diperoleh serta kurangkan kesilapan mudah yang boleh memberi gol kepada kelab tuan rumah,” tambahnya.