RAJA pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan memberi bayangan awal bakal berundur daripada acara 100 meter individu apabila mengesahkan hasratnya hanya mahu membantu skuad 4×100 meter negara di Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Meskipun bergelut dengan kecederaan hamstring kiri yang dijangka memerlukan dua hingga tiga bulan untuk pulih, pelari berusia 27 tahun itu menjelaskan fokusnya kini lebih kepada memberi laluan kepada muka baharu dalam acara riben biru tersebut.

“Saya mungkin tidak berlari acara 100 meter individu di Sukan SEA. Biar pelari muda diberi peluang. Fokus saya hanya satu, bantu pasukan kuartet 4x100m,” katanya kepada Flash Sukan.

Khairul yang turut digelar The Speedy Jantan mengesahkan kecederaan dialaminya semasa Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Gumi, Korea Selatan baru-baru ini, turut memberi kesan kepada keriernya.

Menjengah usia 27 tahun, Khairul Hafiz Jantan mahu melihat pelari pecut baharu galas cabaran 100m negara.

Katanya, hasil imbasan di Institut Sukan Negara (ISN) mendapati otot hamstring kirinya koyak sepanjang 2.35 sentimeter dan beliau kini menjalani rawatan Platelet-Rich Plasma (PRP) untuk mempercepatkan proses pemulihan.

Tambah Khairul, beliau mahu menjadikan Terbuka Malaysia Ogos ini sebagai medan menguji tahap kecergasannya dan jika mampu mencatat masa sekitar 10.49 hingga 10.5 saat, itu sudah cukup baik untuk kembali memperkuat pasukan kuartet kebangsaan.

Raja pecut Asia Tenggara 2017 itu berkata, beliau optimis dapat kembali ke prestasi terbaik menjelang Terbuka Malaysia yang dijangka berlangsung Ogos ini, yang akan menjadi platform pemilihan atlet ke Sukan SEA.

“Sasaran saya adalah untuk pulih sepenuhnya menjelang Ogos. Jika saya dapat mengekalkan catatan masa sekitar 10.5 atau 10.49 saat, ia sudah cukup baik untuk membolehkan saya bersaing merebut tempat dalam pasukan kuartet,” tambahnya.