PRESTASI skuad hoki lelaki negara terus menjadi persoalan sejak dikendalikan semula oleh Sarjit Singh pada Mac 2024. Sudah lebih setahun beliau diberi mandat menerajui Speedy Tigers dengan KPI jelas iaitu Sukan Asia 2025, namun hingga kini tiada sebarang petunjuk yang memperlihatkan pasukan ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran itu.
Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia kekal dalam kelompok pertengahan — tiada gelaran, tiada kejayaan luar biasa, hanya sekadar kekal ‘bersaing’ dalam kelompok Asia. Keputusan-keputusan seperti kekalahan tipis atau seri yang kononnya menunjukkan “potensi”, hakikatnya memperlihatkan satu masalah besar pasukan yang semakin hilang taring.
Masalah asas seperti konsistensi pemain, struktur bertahan, dan ketumpulan serangan terus menghantui pasukan, seolah-olah tiada penyelesaian walaupun sudah 15 bulan di bawah kendalian jurulatih berstatus ‘senior’. Malah isu disiplin seperti kad dan kehilangan fokus ketika mendahului masih menghantui — satu kegagalan taktikal yang tidak lagi boleh disorok.
Apa yang lebih mendukacitakan, Piala Negara-Negara 2025 yang sedang berlangsung di halaman sendiri ibarat satu pentas yang gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh MHC. Bukan sahaja dari aspek prestasi di padang, bahkan dari sudut promosi dan sambutan. Perlawanan melibatkan Malaysia menyaksikan jumlah kehadiran penonton yang suram, jauh berbeza dengan aura yang dibawa Pakistan dalam setiap perlawanan mereka.
Ini membuktikan bahawa usaha MHC memasarkan kejohanan serta menarik minat penyokong gagal sepenuhnya. Stadium kosong, penyokong senyap — semuanya cerminan bagaimana hoki negara kini berada dalam zon bayang-bayang sukan lain.
Kekalahan 3-4 kepada New Zealand semalam selepas mendahului 3-0 adalah kemuncak segala kelemahan ini. Dalam masa hanya 10 minit, segalanya musnah — dan ia bukan kali pertama berlaku. Sekalipun ada sinar dari segi semangat pemain muda seperti Akhimullah atau Azrai Aizad, namun tanpa kepimpinan dan hala tuju jelas, bakat-bakat ini akan terus tenggelam.
MHC perlu bertanggungjawab. Terlalu lama mereka berdiam diri, terlalu banyak keputusan dibuat tanpa justifikasi prestasi sebenar. Jika ini tahap yang dilihat “memadai” oleh pentadbiran badan induk, maka jangan terkejut jika Speedy Tigers terus menjadi pasukan belasahan Asia dan gagal ke pentas besar seperti Olimpik mahupun Piala Dunia akan datang.
Rakyat sudah bosan dengan alasan. Sudah tiba masa untuk reformasi total — bukan hanya di padang, tetapi juga di peringkat pentadbiran tertinggi hoki negara.
foto:MHC