KETUA jurulatih Lion City Sailors, Aleksander Rankovic nyata gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya kerana berjaya menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun terpaksa akur tewas 1-2 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bagaimanapun dia sedar dua kesilapan mudah yang tidak seharusnya dilakukan menyaksikan mereka dihukum pasukan berkualiti seperti JDT namun menganggap itu sebagai pelajaran berguna buat pasukannya.

“Ianya satu perlawanan yang bagus jika dilihat dari sudut perlawanan persahabatan dengan kedua-dua pasukan tunjukkan kualiti dan tahap kompetitif yang tinggi.

Aleksander Rankovic gembira Lion City Sailors mampu beri cabaran buat JDT

“Kami bermula dengan baik sebelum melepaskan dua gol yang mudah dan apabila bertemu pasukan seperti JDT yang penuh dengan kualiti, sudah pasti kami dihukum dan masih banyak yang perlu dipelajari terutama apabila berhadapan lawan yang sering bersaing di Liga Juara-Juara AFC.

“Banyak perkara positif yang kami perlolehi seperti kami mencipta banyak peluang mengikut corak permainan kami dan apabila kami kekurangan seorang pemain, kami mampu beri saingan dan bertahan dengan baik,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus tamat perlawanan.

Pelatih asal Serbia itu juga tidak menganggap JDT menurunkan skuad kedua dan dia mahu mengekalkan corak permainan yang sama ketika kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 April.

Lion City Sailors terpaksa bermain dengan 10 pemain hampir sepanjang babak kedua

“Ketika pramusim tidak ada erti pasukan utama atau kedua dan jika anda tanya pada jurulatih mereka, dia juga akan memberikan jawapan yang sama. Kami juga kehilangan beberapa pemain utama dan bagi kami tidak banyak berubah apabila kami bertandang ke sana dan akan bermain sebagai persediaan untuk permulaan musim,” jelasnya.

Rankovic juga nyata teruja dengan kehadiran lebih 5,700 orang penyokong dan berharap ianya berterusan ketika perlawanan domestik dan bukan hanya kerana tarikan jenama JDT.

Penyokong-penyokong Lion City Sailors yang hadir

“Saya sangat gembira dengan kehadiran penyokong pada perlawanan ini dan berharap angka ini kekal apabila kami bermain dalam pertandingan domestik kerana jika tidak, kita perlu panggil JDT bermain setiap minggu,” katanya.

Lion City Sailors mahu menggunakan pengalaman beraksi bersama JDT sebagai persediaan menghadapi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25 dan berharap dapat melakukan kejutan di kejohanan tier 2 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu.