Kuala Lumpur City FC (KL City FC) kini bebas daripada sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus membuka peluang buat pasukan itu untuk mendaftarkan pemain baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2026/27.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih KL City FC, Datuk Dollah Salleh, selepas pasukannya menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super malam tadi.

Menurut Dollah, pihak kelab sudah menerima pengesahan bahawa sekatan berkenaan telah ditarik balik dan situasi itu membolehkan urusan pendaftaran pemain kembali berjalan seperti biasa.

“Yang penting kita dapat berita tentang sekatan perpindahan kita. Kita sudah dapat keputusan bahawa kita sudah lepas daripada penggantungan ini.

“Insya-Allah pada perlawanan yang akan datang, kita tidak boleh buat sebagai satu alasan lagi,” katanya.

Perkembangan itu turut disokong semakan terhadap pangkalan data sekatan perpindahan FIFA yang mendapati nama KL City FC tidak lagi berada dalam senarai kelab yang dikenakan sekatan.

Difahamkan, Pengerusi KL City FC merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, telah menyelesaikan tunggakan gaji lama berjumlah kira-kira RM1.1 juta, sekali gus membantu kelab tersebut mendapatkan semula kelayakan untuk mendaftarkan pemain.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam sebelum ini melaporkan perkara berkenaan menerusi hantaran di platform X, dengan pembayaran tersebut dikatakan menjadi faktor penting dalam usaha KL City FC menyelesaikan isu sekatan FIFA.

Sekatan berkenaan sebelum ini memberi kesan besar kepada persiapan The City Boys apabila mereka terpaksa menghadapi dua perlawanan awal musim dengan pilihan pemain yang terhad.

Dengan status sekatan kini ditarik balik, KL City FC mempunyai ruang untuk memperkemaskan skuad mereka menjelang aksi-aksi seterusnya.

Setakat ini, kelab berkenaan dilaporkan sudah mendapatkan lapan pemain, termasuk beberapa nama berpengalaman seperti penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri dan Gary Steven Robbat.

KL City FC turut mendapatkan khidmat Ibrahim Manusi secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kehadiran pemain-pemain berkenaan dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada Dollah, terutama selepas kekangan pendaftaran sebelum ini menyaksikan The City Boys berdepan situasi sukar dalam melengkapkan barisan pemain.

Dengan isu sekatan FIFA kini diselesaikan, KL City FC boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperbaiki prestasi dan mengharungi baki kempen Liga Super 2026/27 dengan skuad yang lebih lengkap.