BEKAS pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan beliau hanya akan mengumumkan hala tuju kariernya dalam tempoh dua tiga hari dan berharap para penyokong bersabar menanti keputusan itu.

Kim Swee juga menjelaskan perlu membuat keputusan yang berat ini bagi memastikan mencapai sasaran yang mahukan dalam karier kejurulatihan selain mencari cabaran baharu selepas tiga tahun berkhidmat di Sabah.

Kim Swee menamatkan karier bersama The Rhinos dengan nota gemilang apabila menang selesa 4-0 keatas PT Athletic dalam Pusingan 16 Piala Malaysia yang juga kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Malaysia.

“Bagi saya, saya mahukan cabaran yang lain dan untuk meninggalkan Sabah FC ianya bukanlah perkara yang mudah tetapi untuk mendapatkan cabaran baharu bagi memperolehi apa yang saya inginkan dalam karier kejurulatihan.

“Ianya bukan mudah untuk mendapatkan peluang ini dan saya harap kemana jua saya pergi selepas ini saya mampu membuktikan saya mampu melakukannya dengan lebih baik.

“Saya akan tentukan hala tuju saya dalam dua tiga hari lagi di mana saya perlu fikirkan beberapa faktor tetapi memang ada tawaran bukan hanya dari luar negara tetapi juga dalam negara dan berharap semua bersabar menanti pengumuman rasmi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee juga percaya skuad Sabah mampu meneruskan rentak cemerlang meskipun tanpa kehadirannya kerana kesemua pemain adalah profesional dan mereka tidak perlu melihat pada perbezaan sebaliknya kekal fokus dalam latihan dan permainan.

“Saya percaya mereka semua adalah individu yang profesional dan mereka tahu tugas mereka di mana mereka harus kekal fokus dengan sesiapa jua yang menggantikan saya dan tidak boleh melihat pada perbezaan tetapi mengadaptasi dan jika berjaya melakukan perkara ini, pasukan ini berada di landasan yang betul,” jelasnya.

Kim Swee meninggalkan legasi yang cemerlang sepanjang tiga tahun dan bakal memulakan cabaran baharu sama ada di luar atau dalam negara.